BUTTERWORTH, 10 Mac – Seorang pemandu prime mover, atau kepala lori, maut selepas tersepit dalam kabin jentera itu yang dihempap kontena, di kawasan terminal kontena di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata kemalangan membabitkan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu berlaku kira-kira 10.13 pagi ketika mangsa sedang bekerja.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa merupakan pemandu kepala lori salah sebuah syarikat pembekal jentera kepala lori di terminal kontena tersebut dan dia dikatakan telah membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan kepala mangsa tersepit dalam kabin pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Hairozie berkata ekoran insiden tersebut, pihaknya telah mengeluarkan Notis Larangan bagi aktiviti pengendalian kepala lori di terminal itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko serta seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here