KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin Mohd Hairi Mad Shah memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan sayap parti itu dengan mengalahkan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Mohd Hairi menang tIpis dengan 87 undi berbanding Ikmal Hazlan yang memperoleh 84 undi.

“Kemenangan Mohd Hairi ditentukan pada pukul 12 tengah hari tadi apabila keputusan daripada bahagian-bahagian dapat dipenuhi (diterima),” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Shahrir berkata, jawatan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO dimenangi Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan dengan 80 undi manakala Zairul Azmir Ramli yang memperoleh 59 undi memenangi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO.

Sementara itu Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Titiwangsa dan Semporna, Mesyuarat Perwakilan Wanita Bahagian Kuala Kedah dan Mesyuarat Perwakilan Puteri Bahagian Batu Kawan ditangguhkan hingga Sabtu ini (18 Mac).

Katanya pihaknya juga menerima bantahan bagi pemilihan sayap Wanita Bahagian Kuala Kedah, Kulim, Pekan, Pasir Salak dan Rompin manakala bagi sayap Pemuda bantahan diterima daripada Bahagian Sekijang, Langkawi dan Temerloh.

Beliau berkata pihaknya membuka peluang sehingga esok bagi mana-mana bahagian untuk membuat bantahan.

Sementara itu, Shahrir berkata Bahagian Tanah Merah dan Kota Kinabalu tidak mengambil bahagian dalam Pemilhan UMNO 2023 kerana kedua-dua bahagian berkenaan digantung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here