KUALA LUMPUR, 13 Mac – Projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dijangka menerima pelaburan komited berjumlah RM2.5 bilion dengan sasaran pewujudan peluang pekerjaan sebanyak 1,870 setelah siap sepenuhnya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata CVIA merupakan taman perindustrian bersepadu yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan tujuan untuk menarik pelaburan khususnya dalam sektor berimpak tinggi termasuk pembuatan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan industri halal.

“Setakat 31 Januari 2023, kemajuan pembinaan infrastruktur projek CVIA telah mencapai 89.4 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2023,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi projek PIP pula, Rafizi berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembiayaan peruntukan pembangunan bagi membiayai infrastruktur sokongan projek PIP yang terdiri daripada tiga komponen iaitu laluan khas ‘bonded road’, jejambat (flyover) dan laluan keretapi (spur line).

“Setakat 31 Januari 2023, pembinaan komponen laluan khas ‘bonded road’ telah mencatatkan kemajuan sebanyak 40.25 peratus.

“Bagi komponen jejambat (flyover) dan laluan keretapi (spur line). ia masih di peringkat kerja awalan dengan kemajuan fizikal sebanyak 1.41 peratus,” katanya.

Beliau berkata pembinaan infrastruktur luaran bagi projek PIP ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2024 seiring dengan penyiapan komponen projek PIP yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Perlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here