TUMPAT, 14 Mac – Seorang lelaki ditahan kali kedua atas kesalahan menyeludup cecair vape bernilai RM150,000 ke negara jiran dalam Op Bersepadu kira-kira pukul 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dolah berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis dan Jabatan Kesihatan dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama 11 agensi sempadan bermula semalam hingga pukul 6 pagi tadi.

“Dipercayai lelaki terbabit yang bekerja sebagai seorang perunding menjadikan rumahnya di Taman Sri Bayu di sini sebagai stor transit simpanan peralatan dan cecair vape bernilai RM150,000 sebelum diseludup ke Thailand,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, suspek pernah ditahan atas kesalahan sama dengan nilai barangan RM1.4 juta pada tahun lepas dan telah dikenakan denda.

Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua barangan yang dirampas dibeli daripada syarikat luar Kelantan dan dihantar menggunakan kotak berupa barangan elektrik oleh syarikat penghantaran barangan.

Amran berkata pihaknya percaya kesemua barangan itu diseludup ke negara jiran kerana boleh mendatangkan keuntungan besar kepada suspek kerana permintaan tinggi di sana dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 13A Akta Racun 1952.

Mengulas lanjut mengenai Op Bersepadu yang dijalankan, beliau berkata antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin Pengkalan Kubor dan Majlis Daerah Tumpat.

“Hasil operasi yang dijalankan kita berjaya membuat rampasan pelbagai barangan bernilai RM158,432 seperti vape, beras, minyak petrol serta dadah seperti ganja dan air ketum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here