KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kerajaan tidak berhasrat untuk membuat sebarang semakan atau penstrukturan semula terhadap projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, kata Kementerian Ekonomi.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata kesemua projek tersebut akan terus dilaksanakan selaras dengan peraturan perolehan yang menguntungkan kerajaan.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) jika terdapat semakan atau penstrukturan semula projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, kerajaan setiap negara anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines (BIMP-EAGA) akan menentukan hala tuju pembangunan BIMP-EAGA, dan menyelaraskannya dengan keutamaan pembangunan sosio-ekonomi.

“Wawasan 2025 BIMP-EAGA (BEV 2025) merupakan rangka tindakan pembangunan BIMP-EAGA bagi 2017 hingga 2025 yang memperincikan strategi untuk merapatkan jurang pembangunan, menguruskan sumber semula jadi secara mampan dan menggalakkan kesalinghubungan yang lebih kukuh,” tambah kementerian itu.

Antara teras strategik jangka panjang adalah untuk menjadikan kawasan sub-serantau BIMP-EAGA sebagai bakul makanan serantau, destinasi pelancongan melalui pengurusan sumber asli secara mampan, membina persekitaran perdagangan yang kondusif serta memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang dipacu oleh sektor swasta.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong berhubung perancangan dan projek yang akan dilaksanakan di bawah BIMP-EAGA di Sarawak.

Dalam usaha mengimbangi pembangunan yang tidak sekata di antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kementerian itu berkata usaha diteruskan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif termasuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri.

“Di bawah Rolling Plan 3 Tahun 2023 (RP3 2023), Sabah telah diluluskan peruntukan pembangunan asas (DE Asas) berjumlah RM6.46 bilion untuk pelaksanaan sebanyak 1,141 projek manakala bagi Sarawak, DE Asas yang telah diluluskan berjumlah RM5.42 bilion untuk pelaksanaan sebanyak 979 projek di bawah pelbagai kementerian.

“Pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak juga akan terus diberi tumpuan, yang mana di bawah RP3 2023, sebanyak RM597.261 juta telah diluluskan untuk Sabah dan RM479.194 juta kepada Sarawak bagi pembangunan luar bandar kedua-dua negeri tersebut,” menurut Kementerian Ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here