KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang, hari ini.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu.

Muhammad Amin berkata pada Rabu (14 Mac) Hassan telah mengarahkan Mohd Nor untuk hadir semula ke mahkamah pada hari ini bagi menyambung memberikan keterangan.

“Namun begitu pada hari ini YB (Yang Berhormat) Mohd Nor telah gagal untuk menghadirkan diri ke mahkamah,” katanya.

Katanya perbicaraan bagi Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang bersambung Ahad ini (19 Mac).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lepas, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here