PUTRAJAYA, 17 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

“Kabinet beri ini (isu banjir) keutamaan dan putuskan semua jentera kementerian libatkan diri dalam program dan projek pascabanjir (di Johor),” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Anwar berkata secara keseluruhan, mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 82,831 orang, dan seramai 26,879 mangsa masih berada di 102 PPS.

Beliau menyeru badan bukan kerajaan (NGO), pihak universiti dan sukarelawan supaya turun dalam tempoh singkat ini untuk membantu keluarga dan mangsa pascabanjir kerana beban sangat besar untuk dikendalikan oleh jentera di Johor.

Anwar berkata beliau juga telah menghubungi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari supaya turut sama menyalurkan sukarelawan untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

“Sekarang pascabanjir perlu sukarelawan ramai dan keperluan asas lain dan kemudahan seperti ‘water jet’. Semua (peralatan ini) akan ditambah oleh kerajaan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here