SHAH ALAM, 18 Mac – Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada Kedah dalam usaha merampas negeri itu yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain itu, PH akan mempertahan penguasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN kali ini.

“Daripada empat negeri tumpuan kita, saya fikir pendekatan yang lebih baik adalah fokus di Kedah. Bila sibuk pertahan Kedah, dia (PN) tak berapa tumpu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Jadi kita kena gerak kekuatan tumpu di Kedah.

“Saya rasa Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita tak perlu bertempurpun dengan Menteri Besar Kedah. Patutnya panglima-panglima Keadilan ini duduk depan, Perdana Menteri tidak perlu masuk gelanggang,” katanya.

Saifuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata bagi menghadapi PRN di keenam-enam negeri, PH memerlukan pendekatan agresif dalam usaha meraih sokongan pengundi kepada gabungan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah, dua negeri yang turut mengadakan PRN pada tahun ini ialah Kelantan dan Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here