SHAH ALAM, 22 Mac – Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group dan pembekal skuter elektrik pintar, secara rasmi melancarkan siri Blueshark R yang terdiri daripada R1 dan R1 Lite dengan harga bermula dari RM7,190 hingga RM9,390 untuk pasaran Malaysia.

Blueshark mendedahkan bahawa ia telah menjalankan program perintis, melibatkan 50 penunggang penghantar e-hailing yang membawa pulang Skuter Elektrik Pintar R1 selama sebulan untuk menguji kehebatannya di jalan raya Malaysia dan mencuba rangkaian Blueshark BlueStation (Stesen Penukaran Bateri) di stesen Petronas terpilih.

Program ini bertujuan untuk menunjukkan kebolehlaksanaan platform elektrik Blueshark dan ekosistem sedia pasaran sambil membolehkan organisasi mencapai matlamat pengurangan karbon mereka, kata Ketua Pegawai Operasi kumpulan Blueshark Ecosystem, Jin Chan.

Pelancaran hari ini adalah berikutan perjanjian yang dimeterai oleh pembuat alat ganti EP Manufacturing Bhd (EPMB) dengan Sharkgulf Technologies Group dan CIS Pride Silver Rock Fund untuk pembuatan dan pengedaran kenderaan elektrik beroda dua untuk Malaysia dan pasaran lain di Asia Tenggara.

Sharkgulf berpangkalan di China, dan menghasilkan skuter elektrik jenama Blueshark, manakala CIS ialah dana pelaburan yang diuruskan oleh Silver Rock Capital, Realchamp Asset Management dan The Pride Group.

“Dalam usaha kami meningkatkan rantaian nilai daripada pengeluar peralatan asal kepada pemilik jenama, siri Blueshark R hanyalah permulaan kerana kami mempunyai tanggungjawab untuk terus berinovasi dan menambah baik produk kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPMB Ahmad Razlan Mohamed.

Beliau berkata EPMB berbangga menyokong mandat kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan penyahkarbonan industri pengangkutan di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here