BEIJING, 31 Mac – Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju masa depannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Anwar, sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka, Malaysia akan mempertahankan kedaulatannya dan menentukan perkara yang terbaik untuk negara.

“Tiada siapa yang harus menentukan hala tuju kita, sebagai negara yang bebas dan merdeka, kita akan memutuskan apa yang terbaik untuk kita.

“Kita juga harus mengekalkan kedudukan ini dalam ASEAN, kerana ASEAN ditubuhkan sebagai zon bebas dan berkecuali,” katanya.

Perdana Menteri yang sedang dalam lawatan rasmi sulung ke Republik itu minggu ini berkata beliau dilihat sebagai pro-China tetapi sebagai negara perdagangan, Anwar berkata Malaysia mahu membina hubungan baik dengan semua negara, termasuk China dan AS.

Beliau berkata Malaysia tidak melihat China sebagai pesaing mahupun ancaman walaupun mungkin terdapat beberapa perselisihan faham antara kedua-dua negara.

“Memandangkan tiada ancaman langsung dari China, kami gembira menjadi jiran yang baik, kawan dan mendapat manfaat daripada kejayaan mereka,” katanya.

Anwar berkata China dan AS juga perlu memahami bahawa hubungan diplomasi antarabangsa yang dinamik hari ini telah berubah, dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan menjejaskan seluruh dunia.

“Zaman penjajahan dan imperialisme baharu telah berlalu. Tiada negara boleh menentukan (sesiapa sahaja). Rakyat mahu menuntut kebebasan mereka dan memutuskan apa yang terbaik untuk diri dan negara mereka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata Malaysia mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan universiti di China untuk menerokai penyelidikan dalam pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata selain perdagangan dan pelaburan, Malaysia juga mahu memanfaatkan hubungan baiknya dengan China, terutamanya dengan pusat kecemerlangan terkemuka untuk penyelidikan dan menerajui kaedah baharu dalam menangani cabaran semasa yang dihadapi dunia hari ini, seperti perubahan iklim dan migrasi.

“Kita tidak boleh menyelesaikan cabaran pasca normal dengan cara lama yang usang. Sebab Itulah, kita memerlukan universiti dan pusat kecemerlangan untuk mencetuskan pemikiran baru yang memprovokasi, untuk pemikiran kritis, demi penyelidikan mendalam untuk mewujudkan mod dan cara baharu (untuk menghadapi cabaran).

“Saya berharap kerjasama dengan Tsinghua (Universiti) dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan beberapa perkembangan utama berhubung memajukan hubungan dua hala dengan China esok.

Beliau berkata ini termasuk perdagangan dan pelaburan serta kerjasama dengan universiti lain.

“Mudah-mudahan esok, selepas saya bertemu dengan Presiden (China) Xi Jinping hari ini dan Perdana Menteri Li Qiang esok, saya akan mengumumkan kemajuan besar dari segi hubungan (dua hala) kami,” katanya.

China, kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia itu, merupakan negara kelapan yang dilawati Anwar sejak memegang jawatan pada November  tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here