JOHOR BAHRU, 1 April – Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang masih ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lepas, akan diambil alih proses pemilihannya oleh Badan Perhubungan UMNO negeri, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebelum ini, proses pemilihan UMNO dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

Mengesahkan perkara itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata Setiausaha Badan Perhubungan Datuk Abdul Halim Suleiman akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan bahagian itu.

“…Setiausaha (Abdul Halim) akan lihat dan bincang kesesuaian masa dan memastikan perjalanan mesyuarat semula itu dapat dilakukan dengan baik.

“Kita seboleh-bolehnya mahu dilakukan segera tetapi kita ambil kira sekarang ni bulan Ramadan dan bahagian ini tak macam bahagian lain yang hanya libatkan ketua tapi nampaknya libatkan semua sekali (ahli jawatankuasa), jadi perlu bincang.

“Kita tidak mahu nanti yang datang segelintir, jadi kalau kita buat, kita hendak semua boleh datang, (tak mahulah) kalau pemilihan itu (sudah berlaku) berlaku ‘rumah dah siap, pahat masih berbunyi’,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Johor Penggal 2023/2026 di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here