KUALA LUMPUR, 2 April – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Chamber of Commerce of Import and Export of Foodstuffs, Native Produce, and Animal By-products (CFNA) untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama dalam sektor minyak sawit antara kedua-dua negara dalam bidang berkaitan penstabilan rantaian bekalan minyak sawit.

MoU itu ditandatangani di Beijing, China semalam oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) MPOB Dr Zainab Idris dan Presiden CFNA Cao Derong. 

“China berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menjamin bekalan minyak sawit ke negara tersebut. MoU ini akan membantu meningkatkan keyakinan China terhadap minyak sawit Malaysia.

“Ia akan turut menjamin kedudukan minyak sawit Malaysia dan dengan itu mendapatkan semula bahagian pasaran negara ini di China,” menurut MPOB.

Katanya kandungan utama MoU itu termasuklah menggalakkan penstabilan rantaian bekalan minyak sawit di kedua-dua negara serta menggalakkan minyak sawit dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk kegunaan dalam makanan, bukan makanan, bio bahan api dan makanan ternakan.

Selain itu, katanya menggalakkan penerokaan, rekaan dan implementasi teknologi baharu dalam ladang sawit seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian mudah alih generasi kelima (5G), internet kebendaan (IOT) dan kenderaan swapandu. 

Menurut MPOB, MoU itu akan memudahkan penyertaan China dalam penerokaan teknologi dalam mekanisasi sawit di Malaysia yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dalam perladangan.

China adalah rakan dagang utama Malaysia bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit selepas India. Nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah sebanyak 3.14 juta tan bernilai RM14.86 bilion. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here