IPOH, 5 April – Kerajaan Perak meluluskan pelantikan 158 daripada 160 jawatan Ketua Kampung Baru Cina di seluruh negeri itu bagi sesi 2023-2024.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Woo Kah Leong berkata ia diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini. 

“Lantikan ini melibatkan komposisi dalam Kerajaan Perpaduan merangkumi 72 wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk kuota PH termasuk golongan profesional yang dilantik, manakala 14 wakil MCA bagi kuota Barisan Nasional (BN),” katanya.

Woo berkata pelantikan itu adalah selaras dengan penamatan perkhidmatan kesemua pemegang jawatan ahli majlis dan ketua-ketua kampung pada 31 Dis lepas.

Katanya kesemua individu dilantik bakal menerima watikah lantikan yang akan diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada Rabu ini. 

“Terdapat dua lagi kampung belum diputuskan iaitu Kampung Baru Cina Kuala Rui di Gerik dan Kampung Baru Cina Lintang, yang akan diselesaikan dalam masa terdekat selepas rundingan selesai,” katanya. 

Menurut Woo pihaknya juga dimaklumkan lantikan Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) bakal dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan urusan hal ehwal pembangunan dan kebajikan di Kampung Baru Cina dapat dilakukan.

“PKP akan membantu usaha melestarikan kampung berdasarkan garis panduan dan program yang dirangka untuk fokus kepada komuniti.

“Mereka akan memantau dan ketua kampung boleh jalankan pelbagai program termasuk pembangunan prasarana di kampung yang terlibat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here