BEIJING, 7 April — China sentiasa melihat Kesatuan Eropah (EU) sebagai kuasa strategik dalam landskap antarabangsa dan memprioritikan pembangunan hubungan dengan blok itu.

Demikian kata Presiden China Xi Jinping ketika bertemu Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Khamis.

Xi menyuarakan kesediaan China untuk bersama EU mengekalkan komunikasi yang rapat, memperkukuh kesalingpercayaan strategik, bersinergi mengatasi pelbagai gangguan dan cabaran, sekali gus melonjakkan hubungan China-EU ke tahap lebih tinggi.

“China dan EU harus menumpukan kerjasama yang saling menguntungkan, serta menyokong globalisasi ekonomi dan liberalisasi perdagangan.

“Kedua-dua pihak hendaklah memperkasa dialog dan komunikasi mengenai masalah yang wujud dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan hingga mencapai situasi yang boleh diterima bersama melalui perundingan,” ujar beliau.

Von der Leyen pula berkata EU dan China mempunyai banyak konsensus dalam merungkai cabaran global seperti perubahan iklim serta penyelesaian pertikaian rantau menerusi saluran politik.

EU menolak cubaan ‘cantas hubungan’ dan mahu mengintensifkan pertukaran dan dialog dengan China, di samping menyambung semula tiga mekanisme dialog peringkat tinggi secepat mungkin demi menggerakkan lebih banyak kerjasama saling untung.

Beliau turut mengulangi pendirian bahawa EU mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China, dan berharap Selat Taiwan kekal aman dan stabil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here