PUTRAJAYA, 7 April – Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai komitmen dan profesionalisme tinggi petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam yang meletakkan keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi dengan menolak anjuran mogok melibatkan doktor baru-baru ini. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata mogok bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani setiap permasalahan yang timbul, sebaliknya perkara itu perlu ditangani secara lebih berhemah dan profesional menerusi platform yang betul.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat sekali gus menolak anjuran untuk mogok dalam kalangan doktor baru-baru ini,” katanya.

Media melaporkan kumpulan doktor kontrak merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari dari 3 hingga 5 April dengan tidak akan hadir bertugas serta mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

Dr Zaliha berkata hebahan mengenai Mogok Doktor Malaysia yang telah ditularkan dalam laman sosial dengan dijangka melibatkan antara 8,000 hingga 12,000 doktor kontrak telah gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang dirancang oleh penganjur.

“Keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi terus menjadi inspirasi setiap daripada mereka (doktor).

“Kod etika profesional dalam kalangan pegawai perubatan dan yang lainnya perlulah dipelihara dan sentiasa menjadi pedoman ke arah memartabatkan institusi perubatan di negara ini kepada suatu anjakan paradigma yang sentiasa disegani,” katanya. 

Beliau berkata anjuran mogok itu dilihat lebih bersifat ancaman dan provokatif serta mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.

“Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada kepimpinan tertinggi KKM, pengarah-pengarah kesihatan negeri dan hospital serta ketua perkhidmatan dalam kesiapsiagaan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan tempoh hari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here