PUTRAJAYA, 10 April – Tempoh proses permohonan permit kerja bagi ekspatriat terutama golongan pelabur serta ahli perniagaan akan dipendekkan kepada lima hari waktu bekerja berbanding 87 hari sebelum ini, bermula Jun ini.

Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Bersama Pasukan Pertugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Rafizi Ramli, berkata tempoh pemprosesan lima hari tersebut adalah bagi permohonan permit baharu atau urusan pembaharuan permit.

“keputusan ini bertujuan memudah cara urusan pelabur asing yang ingin masuk ke Malaysia  yang sebelum ini menganggap urusan permit ekspatriat sebagai batu halangan dan kerenah birokasi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Pemudah, di sini, hari ini.

Rafizi berkata ekspatriat yang mempunyai rekod prestasi terbaik dari segi urusan penggajian, pematuhan atau penyertaan ekspatriat yang lama (tempoh keberadaan dalam negara) layak melalui proses permohonan yang telah dipercepatkan itu.

Beliau berkata sistem permohonan permit tersebut akan dinaik taraf dan prosedur permohonan dipermudahkan melalui pengintegrasian data dii bawah satu sistem berbanding perlu melalui empat peringkat proses permohonan sebelum ini.

Mengenai proses permohonan Kebenaran Merancang (KM) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Rafizi berkata Pemudah juga bersetuju agar ia dilaksanakan dengan amalan terbaik supaya ia dapat berada dalam satu julat masa pendek, sekurang-kurangnya mengambil masa 58 hari sahaja.

“Ketika ini, kita ada jurang besar antara PBT dari segi tempoh proses permohonan KM, ada yang boleh mencecah 200 hari.

“Keputusan Pemudah hari ini ialah supaya kita mengangkat satu proses tan pintar untuk kita bawa amalan terbaik daripada PBT yang dapat proses KM dengan cepat dapat diamalkan oleh PBT lain seluruh negara,” katanya.

Setakat ini, katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan satu-satunya PBT yang pernah melaksanakan tempoh proses kebenaran KM yang cepat iaitu selama 58 hari.

“Sudah tiba masanya untuk membawa amalan terbaik itu ke seluruh negara, tetapi kami juga mahu mewujudkan ekosistem berdaya saing yang pihak berkuasa tempatan cukup faham untuk menjadi cekap kerana mereka akan diberi ganjaran,” katanya.

Sebagai usaha meningkatkan kemahiran pekerja untuk memenuhi keperluan industri, Rafizi berkata program Akademi Industri peringkat nasional akan diperkenalkan mulai Jun depan dengan menyasarkan 100,000 tenaga kerja di 10,000 syarikat.

“Syarikat-syarikat ini diberi ruang untuk membangunkan modul latihan dan program mereka sendiri dan kita yakin pihak industri tahu untuk melatih sendiri pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, projek rintis akan diadakan dengan 10 syarikat besar selama tiga bulan untuk mempelajari kaedah pelaksanaan sewajarnya sebelum Akademi Industri dilancarkan.

Katanya, 10 syarikat tersebut belum dikenal pasti dan akan diumumkan kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here