KUALA LUMPUR, 11 April – Pesawat keenam MYAirline Sdn Bhd menyertai kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu hari ini dalam usaha menampung peningkatan permintaan terhadap produk serta perkhidmatannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rayner Teo berkata kehadiran pesawat itu amat bertepatan dan sejajar dengan dasar syarikat penerbangan untuk mempunyai pesawat gantian bagi menampung kecekapan operasi serta mencapai matlamat prestasi tepat masa (OTP).

“Kami juga yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan penjadualan lebih banyak kekerapan laluan sedia ada, termasuk penyertaan pesawat ketujuh kami yang bakal digerakkan tidak lama lagi,” katanya.

Teo juga menyifatkan langkah menambah pesawat ke dalam kumpulan pesawat MYAirline sebagai satu keputusan strategik penting bagi syarikat yang memerlukan perancangan serta pertimbangan teliti berikutan pelbagai faktor seperti permintaan pasaran, daya maju kewangan dan kecekapan operasi.

“Kemasukan pesawat baharu ini memerlukan perancangan dan penyelarasan bagi memastikan pesawat ini dapat memenuhi semua keperluan keselamatan serta.

“Apa lebih penting adalah ia perlu disepadukan secara lancar ke dalam operasi sedia ada,” katanya.

Teo berkata menerusi kapasiti kekuatan sejumlah 20 pesawat menjelang akhir 2023, MYAirline juga komited untuk mengembangkan laluan domestik dan memulakan penerbangan antarabangsa di rantau ini.

“Kami menyasarkan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan susulan komitmen syarikat untuk berkembang di rantau ini.

“Faktor ini membolehkan kami menguasai sebahagian daripada permintaan perjalanan yang kian meningkat pasca COVID-19 dan memperluas jumlah pelanggan kami di Asean,” katanya.

Syarikat penerbangan itu baru-baru ini telah memeterai perjanjian bagi mendapatkan 17 pesawat jenis Airbus A320-200 secara pajakan bagi mencapai matlamat mempunyai 20 pesawat menjelang akhir tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here