KUALA LUMPUR, 12 April – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar bagi mencapai agenda kelestarian negara.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 1, 2023, yang diadakan di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, Selangor, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad itu turut membincangkan kerjasama untuk memperkasakan pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon secara menyeluruh bagi mencapai sasaran pengurangan karbon secara mutlak melalui program yang dilaksanakan oleh NRECC dan Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC). 

“Program itu seperti mengutamakan perolehan hijau di peringkat tempatan menerusi Program Perolehan Hijau Kerajaan, mempergiat penyertaan dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030, pembangunan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (SPTL) dan Inisiatif Rumah Ibadat Hijau, menggalakkan pengurusan gas rumah kaca di peringkat organisasi menerusi Low Carbon Operating System (LCOS) dan mempercepat pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik.”

Selain itu mesyuarat turut membincangkan berkenaan Hari Alam Sekitar Negara yang akan disambut pada 21 Okt, dengan sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Johor selain penganjuran International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 pada 4 hingga 6 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema “Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action”.

NRECC juga sedang merangka ketetapan dasar dan proses utama berkaitan pasaran karbon di bawah The United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan Perjanjian Paris.

Sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh termasuk kerajaan negeri akan dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon oleh entiti awam dan swasta di Malaysia adalah selari dengan keputusan UNFCCC dan mengambil kira kepentingan negeri-negeri di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here