KANGAR, 14 April – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yakin terhadap potensi serta trajektori pertumbuhan Perlis berikutan minat ke atas Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang terus meraih momentum.

Minat tersebut jelas dipaparkan menerusi laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi jumlah perdagangan Malaysia dengan Thailand pada tahun lepas, kata NCIA dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata pembangunan CVIA telah menyuntik potensi Perlis sebagai peneraju dalam perdagangan rentas sempadan, terutamanya menjadi pintu masuk eksport Malaysia ke Thailand, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos dan China.

CVIA juga berpeluang meraih manfaat daripada peningkatan jumlah perdagangan Malaysia dengan Thailand yang mencecah RM112.42 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2022, meningkat 27.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2021, seperti dilaporkan oleh MATRADE.

“Potensi itu dipacu oleh peningkatan kemajuan teknologi dan perkembangan aktiviti e-dagang rentas sempadan,” katanya.

NCIA juga komited untuk bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Perlis bagi memudahkan pertumbuhan sosioekonomi yang bukan hanya di CVIA tetapi juga dengan Zon Ekonomi AgriBio (NAEZ) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) sebagai hab logistik.

Terdahulu, kerajaan Perlis telah mengadakan pertemuan dengan NCIA bersempena mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Perlis (JPN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Mohd Shukri turut menyatakan keyakinannya terhadap usaha pihak berkuasa pelaburan itu dalam membangunkan CVIA bagi memanfaatkan kedudukan Perlis yang berhampiran dengan sempadan Thailand.

“Ini akan memberi peluang pelaburan bagi syarikat tempatan dan asing untuk mengambil manfaat daripada potensi perdagangan rentas sempadan di Perlis.

“Bersama-sama dengan NICA, kerajaan negeri dapat menarik kehadiran pelabur berkualiti sebagai memangkin peralihan Perlis daripada sebuah negeri agronomi kepada ekonomi negeri sempadan serta melonjakkan pertumbuhan sosioekonomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here