IPOH, 16 April – Tidak mahu tradisi memasang pelita panjut menjelang Aidilfitri ditelan zaman, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan panjut hiasan antara sektor jabatan pihak berkuasa tempatan itu. 

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pertandingan yang diadakan secara dalaman buat julung kali itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahun depan dengan memperluas penyertaan kepada orang ramai. 

“MBI cuba nak kembalikan nostalgia yang masih tak lapuk dek zaman agar generasi masa kini tidak lupa adat budaya mereka, itu yang paling penting. 

“Zaman kini sudah berubah kerana tidak kira di kota atau desa, pelita panjut sudah berganti lampu kelip berwarna-warni jadi kita ambil inisiatif selaras Tahun Melawat Ipoh 2023,” katanya.

Rumaizi berkata kira-kira 2,000 pelita digunakan bagi menghasilkan empat reka bentuk panjut di Padang Ipoh di sini yang menceriakan bandar raya itu bermula malam tadi. 

Katanya, pelita panjut di Padang Ipoh itu akan terus dinyalakan sehingga hari raya ketiga bagi memberi peluang kepada warga Ipoh menyaksikan keunikan pesta panjut.

Padang Ipoh dipilih untuk pertandingan pelita panjut itu kerana ia ialah kawasan tengah bandar raya Ipoh bagi mewujudkan segi tiga pelancongan yang ada di bandar itu. 

Sementara itu, Rumaizi turut mencadangkan orang ramai yang beriadah termasuk berbuka puasa bersama keluarga di Padang Ipoh sambil bersantai pada musim cuti untuk melihat pesta panjut berkenaan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here