KUALA LUMPUR, 17 April – Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) melancarkan platform Tawaran Pertukaran Permulaan (IEO) pertama di Malaysia, yang membuka peluang pelaburan baharu untuk pelabur-pelabur pasaran swasta.

KLDX berkata platform IEO itu akan memberi peluang kepada pelabur, termasuk pelabur-pelabur bernilai tinggi dan runcit, pejabat keluarga dan institusi, untuk melabur dalam pelaburan digital yang disokong oleh aset-ases pendasar, seperti saham-saham ekuiti, instrumen pendapatan tetap dan dana.

Pengendali itu berkata ia akan memastikan bahawa hanya pelaburan yang berkualiti tinggi ditawarkan melalui platform dengan melaksanakan proses usaha wajar yang ketat berdasarkan rangka kerja penilaian dalaman yang mantap. 

“Bagi syarikat yang ingin mengumpul wang, platform IEO KLDX menyediakan akses yang lebih mudah untuk modal, pada kos yang lebih rendah dan masa yang lebih pantas, yang membolehkan syarikat memperoleh modal dengan lebih cekap. Ia membolehkan mereka menumpukan pada operasi perniagaan teras dan memacu inovasi,” kata KLDX.

Platform IEO, berdaftar dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dikuasakan oleh teknologi blockchain yang memastikan tahap keselamatan dan ketelusan yang tinggi untuk semua peserta, katanya.

Selain itu, platform tersebut secara aktif akan menawarkan produk-produk pelaburan yang memfokuskan pada faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mereka yang berminat boleh melayari laman web KLDX di www.kldx.com untuk mengetahui lebih lanjut tentang platform itu atau untuk mengambil bahagian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here