KUALA LUMPUR, 18 April – Pertama Digital Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kridentia Tech Sdn Bhd (KTSB) bagi meneroka projek penyelesaian pengenalan digital (ID) dan mereka bentuk, membangun dan meningkatkan produk serta perkhidmatan digital.

Pertama Digital melabur dalam syarikat kewangan teknologi (fintech) dan syarikat teknologi kerajaan yang membina penyelesaian yang berkesan dan inklusif untuk rakyat Malaysia manakala Kridentia Tech dan kumpulan syarikatnya terlibat dalam menyediakan sistem keselamatan biometrik canggih, menyediakan perkakasan dan perisian teknologi maklumat.

Pertama Digital dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kerjasama yang dicadangkan itu ditetapkan bagi tempoh 12 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertama Digital Saify Akhtar berkata kekuatan individu mereka dalam ruang digital akan meningkatkan keupayaan kerajaan dalam memperkenalkan produk digital bertaraf dunia seperti ID digital dengan tahap keselamatan yang diluluskan industri bagi mencegah ancaman daripada sebarang aktiviti penipuan (scammer).

“Maklumat adalah berharga dan kami percaya platform kami seperti MyPay dan ID Digital Malaysia yang dicadangkan itu boleh dipertingkatkan dan ditambah baik untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai eksekutif KTSB Datuk Abdul Rashid Ghani berkata antara agensi mereka bekerjasama termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here