BANGI, 19 April – Syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline Sdn Bhd optimis ia akan memulakan perkhidmatan di laluan antarabangsa pada Jun tahun ini.

Destinasi antarabangsa yang disasarkan adalah di sekitar rantau Asia Tenggara iaitu Singapura, Indonesia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Rayner Teo berkata tiket untuk laluan antarabangsa MyAirline dijangka dijual bulan depan.

“Mudah-mudahan, kami boleh memulakan jualan tempahan tiket sama ada akhir bulan ini atau awal bulan depan.

“Kami ada masa yang mencukupi bagi memastikan semua pesawat sedia untuk terbang,” katanya.

Teo juga berkata syarikat penerbangan itu merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya 20 pesawat yang beroperasi hingga akhir tahun ini.

“Pada masa ini, kami mempunyai enam pesawat yang beroperasi,” katanya.

Syarikat penerbangan itu baru-baru ini telah menandatangani perjanjian untuk 17 pesawat Airbus A320-200 secara pajakan bagi memenuhi sasaran 20 pesawat menjelang akhir tahun 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here