KUALA LUMPUR, 25 April – Biarpun mengharungi jadual padat termasuk kelayakan Sukan Olimpik 2024, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, memilih Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, sebagai fokus utamanya tahun ini.

Muhammad Shah Firdaus berkata beliau enggan pulang tangan kosong daripada temasya sukan terbesar Asia tersebut dengan menyasarkan untuk menaiki podium sekali lagi selepas berjaya melakukannya pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Dalam penampilan sulungnya pada edisi lepas, atlet berusia 27 tahun itu merangkul pingat perak menerusi acara pecut berpasukan lelaki bersama jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

“Insya-Allah (raih pingat) namun susah nak jangka (cabaran pelumba lain) kerana dalam beberapa bulan mungkin ada muka-muka baharu tetapi apa yang saya nampak pelumba China dan Jepun mungkin boleh beri ancaman besar kepada kita,” katanya.

Bagaimanapun, pemenang gangsa keirin lelaki Sukan Komanwel 2022 itu menyerahkan kepada jurulatihnya, John Beasley untuk menentukan waktu yang sesuai untuknya mencapai kemuncak prestasi pada tahun ini.

“Tahun ini memang sibuk, ada kelayakan Sukan Olimpik 2024 dan juga kejohanan dunia, jadi agak tricky namun itu semua tugas Beasley untuk putuskan mana saya patut capai peak performance,” katanya.

Sukan Asia 2022 dijadual bermula 23 Sept hingga 8 Okt depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here