IPOH, 28 April – Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan sebanyak 265.9 peratus atau 472 kes dilaporkan setakat 22 April lepas (Minggu Epid: 16/2023), berbanding 129 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata melalui Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi di kawasan pentadbiran MBI serta aktiviti pencegahan dan kawalan dengan kerjasama daripada semua pihak, bilangan lokaliti wabak dapat dikurangkan dalam dua tempoh minggu lepas.  

Beliau berkata sehingga Rabu (26 April), terdapat lima lokaliti wabak iaitu Halaman Meru Permai dengan tiga kes yang dijangka tamat pada 6 Mei, Taman Maxwell (lapan kes, dijangka tamat 2 Mei), Kampung Baru Tambun (dua kes, dijangka tamat 1 Mei), Taman Kinta Mas (dua kes, dijangka tamat 2 Mei) dan Taman Camay (tiga kes, dijangka tamat 4 Mei).

“Sementara lokaliti wabak tidak terkawal adalah di Halaman Ampang Mewah dengan 15 kes dan dijangka tamat 27 April, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 (tujuh kes, dijangka tamat 1 Mei), Taman Cempaka (tujuh kes, dijangka tamat 8 Mei) serta Kampung Manjoi (11 kes, dijangka tamat 8 Mei),” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April 2023 di sini hari ini.

Rumaizi berkata terdapat dua lokaliti hotspot di Taman Cahaya Bercham dengan 24 kes dan dijangka tamat pada 29 April, manakala di Taman Hillview dengan 12 kes serta dijangka tamat pada 1 Mei ini. 

Justeru, Rumaizi menasihatkan orang ramai agar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk melakukan aktiviti pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran kawasan kediaman masing-masing.

Sementara itu, Rumaizi pada sidang media berkata pihaknya mengambil maklum berkenaan rungutan orang ramai berkaitan panjut hiasan yang tidak menyala seperti yang dihebahkan di media sosial.

“Sebenarnya program panjut untuk tahun ini sekadar percubaan sebelum dilanjutkan pada tahun seterusnya kerana yang paling penting pesta panjut ini adalah untuk tahun hadapan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

“Tahun ini jika ada kelemahan kita akan lihat bagaimana untuk menambah baik pengurusan panjut itu. Mungkin kita kena pastikan ada orang yang boleh menjaga dan mengawasi panjut hiasan itu bagi memastikan ia kekal hidup dan tidak terpadam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here