KUALA LUMPUR, 28 April – Op Lancar dan Op Selamat yang ke-20 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri telah berjaya dilaksanakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Justeru beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sanggup mengetepikan kepentingan diri serta keluarga, demi memastikan keselamatan rakyat diberikan keutamaan sepanjang musim perayaan ini. 

Beliau berkata jasa serta pengorbanan para petugas PDRM dalam memastikan keadaan lalu lintas berjalan lancar serta kediaman yang ditinggalkan terjaga daripada sebarang insiden yang tidak diingini, amatlah dihargai. 

“Hal ini jelas, menunjukkan komitmen tinggi warga PDRM dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. 

“Selain itu, kebijaksanaan barisan kepimpinan PDRM dalam menyusun strategi penugasan dan penggiliran tugas secara teliti sepanjang musim perayaan ini juga harus diberikan pujian,” katanya.

Acryl Sani berkata penghargaan ini juga dizahirkan kepada pasukan-pasukan sahabat, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, rakan-rakan kolaborasi serta pihak media yang turut berganding bahu dalam memastikan Op Selamat 20 berjalan lancar.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh ahli masyarakat yang telah mematuhi peraturan dan undang-undang demi memastikan keselamatan diri serta insan yang tersayang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here