KUALA LUMPUR, 3 Mei – Permohonan untuk tiga geran utama ekonomi digital iaitu Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG), Geran Malaysia Digital X-port (MDXG) dan Geran Kandungan Digital (DCG) dibuka.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), iaitu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan geran itu adalah bagi memacu ekosistem industri digital negara ke tahap yang lebih kondusif serta mampan.​

“Jangan lupa sertai sesi taklimat geran MDCG dan MDXG pada 9, 16 dan 22 Mei 2023 melalui pautan berikut: https://bit.ly/MDCG_MDXG​ dan taklimat geran DCG pada 9 Mei di: https://bit.ly/3LHPKud​,” menurut hantaran yang turut dikongsi oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di Facebook beliau malam ini. 

Tarikh tutup bagi permohonan itu ialah 1 Jun ini dan maklumat lanjut boleh diakses menerusi pautan www.mdec.my/grants. ​

MDCG bertujuan memangkin penggunaan dan pembangunan penyelesaian mampan yang disruptif dan inovatif dalam sektor tumpuan Malaysia Digital seperti digariskan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

MDXG pula memberi fokus untuk menyokong syarikat teknologi tempatan yang menunjukkan keupayaan dan kesediaan mereka dalam mengembangkan pasaran ke peringkat global dengan geran ini dijangka merangsang eksport digital bernilai tinggi. 

DCG merupakan inisiatif kerajaan yang dimulakan pada 2016, direka dan diwujudkan bagi menyokong syarikat kandungan kreatif tempatan dalam membangun, menghasil serta memasarkan kandungan digital dalam animasi, permainan digital, komik digital dan kandungan teknologi kreatif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here