KUALA LUMPUR, 4 Mei – Orang ramai menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan warganegara Malaysia memperbaharui lesen memandu mereka bagi tempoh maksimum 10 tahun dan rata-rata menyifatkan inisiatif itu sebagai satu kemudahan.

Bagi usahawan berusia 36 tahun iaitu Suriani Hassan, tempoh lesen memandu yang lebih panjang amat membantu beliau dalam urusan harian kerana perlu kerap keluar bagi tujuan perniagaan.

“Saya sentiasa melakukan perjalanan ke negeri yang berlainan untuk menjual produk kecantikan saya dan tidak mempunyai banyak masa bagi menguruskan hal peribadi.

“Dengan tempoh maksimum 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini, saya tidak lagi perlu risau kerana terlupa memperbaharui lesen memandu… Saya hanya perlu menetapkan peringatan tarikh di kalendar sedekad lebih awal,” katanya.

Eksekutif pemasaran, Soo Wai Hin, 30, pula berkata meskipun mengalu-alukan keputusan itu, beliau berpendapat kerajaan perlu mengenakan syarat bahawa gambar pada lesen memandu harus dikemas kini secara berkala bagi memastikan ciri muka pemegangnya adalah sepadan.

“Saya telah melihat ramai orang, termasuk rakan saya, yang ciri muka mereka tidak sama dengan gambar pada lesen memandu,” katanya.

Sementara itu, Lily Ramasamy, 26, menghargai kebenaran khas bagi memperbaharui lesen memandu tanpa perlu menduduki semula ujian.

“Saya baru kembali ke tanah air selepas melanjutkan pelajaran di United Kingdom dan lesen memandu saya telah tamat tempoh empat tahun lepas.

“Saya amat lega kerana tidak perlu lagi mengeluarkan belanja yang besar dan menempuh pelbagai kesulitan untuk mengambil semula kelas memandu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata rakyat Malaysia boleh memperbaharui lesen memandu mereka sehingga 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini mulai 8 Mei depan.

Beliau juga berkata bagi individu yang lesennya telah tamat tempoh untuk diperbaharui mulai 1 Jan 2018 dan ke hadapan, diberi kebenaran khas untuk berbuat demikian tanpa perlu menduduki semula ujian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here