GEORGE TOWN, 9 Mei – Datuk A. Rajendran mengangkat sumpah sebagai datuk bandar Pulau Pinang hari ini, menggantikan Datuk Yew Tung Seang yang bersara 5 Mei lepas. 

Rajendran, 60, berkata beliau diberi tanggungjawab itu ketika Pulau Pinang sedang mengalami pembangunan yang memberangsangkan.

“Isu-isu utama yang diberi perhatian serius ialah kebersihan dan kesesakan trafik. Saya ingin mengesahkan bahawa perancangan dan langkah-langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan.

“Selain itu, proses pendidikan dan langkah penguatkuasaan akan diteruskan,” katanya.

Rajendran, yang mula berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) – dahulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Pulau Pinang – pada 1986, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memberi peluang kepada beliau untuk menjadi datuk bandar yang keempat.

Sementara itu, Chow berharap kerjasama baharu antara datuk bandar, ahli majlis dan kakitangan MBPP akan dapat memperkukuh pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan MBPP.

“Kawasan pulau telah menjalani proses urbanisasi dan akan menjadi pemacu terpenting kepada pertumbuhan ekonomi masa depan, dengan perancangan pembangunan hartanah di beberapa kawasan. Daya saing bandar raya ini perlu dipertingkat bagi memastikan Pulau Pinang menjadi pilihan utama pelaburan langsung asing dalam industri berteknologi tinggi dan ekonomi kreatif lain.

“Dengan pengalaman dan keupayaan Rajendran, saya yakin dan menyokong beliau untuk menerajui MBPP,” katanya.

Rajendran menyertai badan itu sebagai pembantu jurutera dan pernah berkhidmat sebagai pengurus besar Syarikat Bas Negeri Pulau Pinang dari 2006 hingga 2007.

Pada 1 Jan 2022, beliau dilantik sebagai setiausaha MBPP, jawatan yang dipegangnya sebelum dilantik sebagai datuk bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here