KARACHI, 10 Mei – China, Pakistan dan Afghanistan bersetuju untuk meneroka kemungkinan pelaburan tiga hala bagi memulihkan ekonomi Afghanistan yang terjejas.

Persetujuan itu dicapai semasa Dialog Menteri Luar China-Afghanistan-Pakistan ke-5 di Islamabad pada Sabtu.

Dialog itu dihadiri diplomat tertinggi China Qin Gang, rakan sejawatannya dari Pakistan dan Afghanistan Bilawal Bhutto Zardari dan Amir Khan Muttaqi.

“Para menteri yang memperakui pentingnya usaha untuk menjana aktiviti ekonomi di Afghanistan bersetuju mempertimbang untuk terus menyokong pembinaan semula Afghanistan dan meneroka kemungkinan pelaburan tiga hala dalam perindustrian serta membuka peluang pekerjaan.

Ketiga-tiga pihak menggesa negara berkaitan supaya menarik balik sekatan unilateral mereka terhadap Afghanistan dan mengembalikan aset berbilion dolar di luar negara untuk manfaat rakyat Afghanistan selain mewujudkan peluang untuk pembangunan ekonomi dan kemakmuran di Afghanistan.

Mengambil maklum tentang “jaminan berulang” kerajaan sementara Afghanistan untuk menghormati dan melindungi hak dan kepentingan wanita, ketiga-tiga pihak menyeru masyarakat antarabangsa menyokong pembinaan dan pembangunan semula Afghanistan dan membantunya menambah baik tadbir urus dan mengukuhkan pembinaan kapasiti, supaya dapat melindungi hak asasi dan kepentingan semua segmen masyarakat Afghanistan dengan berkesan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Taliban yang kembali berkuasa pada Ogos 2021 berhadapan kritikan kerana mengenakan sekatan ke atas wanita dan gadis.

Larangan di seluruh negara terhadap wanita Afghanistan bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan lepas, memburukkan lagi kritikan itu.

“Ketiga-tiga pihak menegaskan semula keazaman mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi Afghanistan sebagai hab untuk perhubungan serantau dan menegaskan komitmen untuk meneruskan kerjasama tiga hala di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), dan untuk bersama-sama memanjangkan Koridor Ekonomi China-Pakistan ke Afghanistan.”

Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) membabitkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur berbilion dolar antara Pakistan dan China dengan Beijing telah melabur lebih daripada $25 bilion di negara Asia Selatan itu sejak 2014.

Selepas pengunduran sepenuhnya tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat dari Afghanistan, Islamabad dan Beijing bersetuju untuk melanjutkan CPEC ke Afghanistan.

Pentadbiran Taliban juga bertegas untuk menstabilkan negara yang dilanda perang itu untuk menjadi transit antara Asia Tengah dan Selatan.

Ketiga-tiga pihak juga menegaskan bahawa projek sedia ada, termasuk CASA-1000 (projek kuasa elektrik Asia Tengah-Asia Selatan), TAPI (Saluran Paip Turkmenistan-Afghanistan-Pakistan-India), Kereta Api Trans-Afghan dan lain-lain, akan meningkatkan ketersambungan serantau serta memastikan peningkatan ekonomi dan kemakmuran rakyat di rantau Asia Tengah.

Ketiga-tiga pihak menekankan mengenai keperluan untuk tidak membenarkan mana-mana individu, kumpulan atau parti, termasuk Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), Pergerakan Islam Turkistan Timur (ETIM), menggunakan wilayah mereka untuk membahayakan dan mengancam keselamatan serantau dan kepentingan atau menjalankan aktiviti keganasan.

“Ketiga-tiga pihak menggariskan kepentingan untuk menahan diri daripada campur tangan dalam hal ehwal dalaman Afghanistan selain mempromosi keamanan, kestabilan dan pembinaan semula Afghanistan,” kata kenyataan itu.

Taliban, yang menjadi perantara gencatan senjata selama sebulan antara rangkaian militan dan Pakistan sejurus selepas mereka kembali berkuasa, menggesa kedua-dua pihak “menyelesaikan perbezaan mereka melalui rundingan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here