KANGAR, 10 Mei – Bekalan air ke kawasan penanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) setakat ini tidak terjejas walaupun cuaca panas berpanjangan melanda negara kini.

Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli berkata paras air di Empangan Pedu, Kedah masih pada tahap selesa iaitu sekitar 73 peratus.

“Dengan kadar takungan air di empangan pada masa ini, MADA menjangkakan ia masih mencukupi untuk penyaliran air ke sawah padi.

“Sekiranya berlaku fenomena El Nino atau keadaan kering melampau, insya-Allah kita masih boleh menanganinya,” katanya.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali; Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM Datuk Azman Mahmood dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis Razali Saad.

Kamarudin berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan mengenai pesawah mengalami kerugian tanaman padi akibat cuaca panas.

“Pesawah di Kawasan MADA baru memulakan proses menanam padi iaitu sekitar dua peratus.

“Dengan keadaan sekarang mengambil kira faktor paras takungan air dan pengairan, insya-Allah masalah padi kering atau mati tidak akan berlaku,” katanya.

Media hari ini melaporkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi di Kelantan, merosot akibat musim kemarau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here