KUALA LUMPUR, 11 Mei – Malaysia Autoshow 2023 telah memecah rekod paras transaksi bernilai bilion ringgit dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) merekodkan potensi jualan bernilai RM1 bilion.

Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii) berkata acara 4-7 Mei ditutup dengan mendapat sokongan paling kukuh daripada industri apabila mencatat kira-kira 2,200 tempahan kenderaan dan 6,800 pelanggan berpotensi dan 190,000 pengunjung.

Salah satu perkara penting daripada acara itu ialah lonjakan minat terhadap kenderaan elektrik yang merekodkan 41 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan.

“Pihak pengeluar memberi peluang kepada pelawat untuk menempah kenderaan elektrik (EV) mereka semasa acara itu, yang menunjukkan permintaan semakin meningkat untuk kenderaan mesra alam dan kesedaran tentang faedah EV,” katanya.

Selain kereta dan teknologi terkini yang dipertontonkan, jenama kereta nasional Malaysia menjadi tumpuan dengan menampilkan konsep baharu dan penawaran produk, kata kenyataan itu.

Perodua mempamerkan inovasi termaju Perodua EM-O (Electric Motion Online). Proton turut melancarkan Proton X90 secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jenama terkenal lain termasuklah GWM, Honda, Toyota, Chery, Kia, dan EON dengan menyediakan barisan model terbaharu mereka daripada enjin pembakaran dalaman dan varian elektrik, katanya.

Acara itu turut mempamerkan model-model EV daripada BMW, Mercedes Benz dan Lotus manakala Pameran Motosikal Malaysia yang diadakan serentak, menyaksikan pelancaran pelbagai jenama kenderaan dua roda, seperti Modenas/Kawasaki, Aveta dan jenama lain di bawah Mforce.

Menurut MARii, sebanyak 3,500 pandu uji dan 2,800 tunggangan ujian direkodkan yang bersamaan dengan jarak kira-kira 17,000 kilometer di sepanjang acara empat hari itu berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz berkata bilangan pengunjung yang ramai dan pameran automatik terbesar di bawah satu bumbung adalah bukti pertumbuhan berterusan dan keterujaan untuk industri itu di masa-masa akan datang.

“MARii menyasarkan untuk membalas balik kepercayaan anda dengan membawa lebih banyak lagi kepentingan untuk industri dan pengguna kami dalam edisi Malaysia Autoshow akan datang,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here