PUTRAJAYA, 12 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan bahawa setiap tindakannya sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan adalah mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu atas faktor politik.

Dalam kenyataan hari ini berhubung dakwaan seorang bekas menteri bahawa SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya, SPRM berkata kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejaskan imej suruhanjaya.

Semalam, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kes pertuduhan membabitkan ahli perniagaan Sim Choo Thiam yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Hamzah turut mengesahkan beliau dipanggil SPRM semalam bagi memberi keterangan berkait satu kes pendakwaan membabitkan ahli perniagaan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari sama.

“SPRM ingin menegaskan bahawa semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih yang diperoleh oleh suruhanjaya ini.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya,” menurut suruhanjaya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here