IPOH, 17 Mei – Jurulatih muaythai kebangsaan, Bernard Radin meluahkan kegusaran kemungkinan muaythai negara akan ketinggalan jika usaha untuk mengiktiraf sukan bela diri itu setaraf sukan lain tidak dilakukan sekarang, termasuk dari segi pembiayaan latihan. 

Beliau berkata pasukan itu hanya dibantu secara bermusim apabila ada kejohanan besar, tetapi selepas daripada itu ia seolah dipinggirkan.

Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Malaysia itu juga mengakui, perjalanan melahirkan jaguh dunia dalam sukan itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit terutama dari segi kewangan. 

“Kita akui MSN (Majlis Sukan Negeri) banyak membantu, kerajaan negeri (Perak) ketika SUKMA di Perak dan Sukan SEA, namun selepas itu kami dibiarkan. 

“Kami banyak mengeluarkan sendiri perbelanjaan untuk melatih atlet, terutama perbelanjaan untuk memasuki pertandingan sirkit antarabangsa,” katanya.

Turut hadir atlet muaythai negara, Mohd Rifdean Masdor yang berjaya mencipta hatrik gelaran dunia apabila muncul juara bagi kategori 51 kilogram (kg) lelaki bawah 23 tahun (B-23) di Kejohanan Muaythai Dunia 2023 di Bangkok, Thailand pada 3 hingga 13 Mei lepas, selepas menjuarai kejohanan sama pada edisi 2021 dan 2022.

Hadir sama, Nur Amisha Azrilrizal yang merangkul kejuaraan sulung kategori wanita pada kejohanan yang sama serta Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli atau Jebat yang menggenggam perak pada kejohanan itu. 

Bernard, yang juga Presiden Persatuan Muaythai Perak, berkata sejak program Podium dimansuhkan beberapa tahun lepas, masalah kewangan membelenggu atlet apatah lagi mereka menceburi sukan itu secara sepenuh masa. 

Katanya selaku sukan yang tidak pernah gagal mencapai sasaran dan kini melahirkan atlet bertaraf dunia, sewajarnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengikiraf muaythai seperti sukan cemerlang yang lain. 

Menurutnya ia juga selaras usaha sukan itu untuk melahirkan pelapis di masa depan kerana bakat muaythai negara ini dilihat mampu memberikan cabaran dan mencipta kejutan di peringkat antarabangsa.

Mengenai persiapan menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, acara muaythai yang disenaraikan dalam temasya itu merupakan antara sandaran emas.

“Saya tidak meletakkan sasaran, namun dengan tawaran 18 pingat emas kita akan buat yang terbaik untuk meraih pingat,” katanya.

Bernard juga yakin muaythai akan tersenarai dalam temasya sama bagi edisi 2027 di Malaysia kerana sukan itu antara harapan pingat emas negara dan mempunyai atlet yang bakal melakar kejayaan.

Di Kejohanan Muaythai Dunia 2023 itu, Malaysia yang diwakili 10 atlet membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan sebutir gangsa.

Pada temasya Sukan SEA 2023  di Phnom Penh, Kemboja yang bakal menutup tirainya malam ini, atlet negara tidak dapat menyertainya susulan tuan rumah bertindak menukar nama sukan dan badan dunia daripada Muay kepada Kun Khmer.

Bernard berkata pasukan negara akan beraksi dalam sirkit produnia yang akan berlangsung bulan depan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here