PUTRAJAYA, 18 Mei – Rakyat Malaysia perlu menerapkan konsep ‘tabayyun’ dalam diri iaitu sentiasa menyemak kebenaran setiap maklumat yang diterima melalui mana-mana platform, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘menthabitkan’ dan menyemak asas kebenarannya.

Ditemui pemberita selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di sini hari ini, beliau berkata konsep tabayyun itu penting kerana segala maklumat yang diterima ketika ini tidak boleh dipercayai secara bulat-bulat.

“Dalam keadaan sekarang, ditegaskan kena selalu semak maklumat diterima sebelum sampaikan kepada orang lain.

“Gunakan sedikit ruang untuk teliti menilai maklumat disampaikan, kita tahu kadangkala (maklumat) disensasikan… konsep tabayyun itu sangat penting, bila kita terima… semak sebelum sebar,” katanya.

Fahmi berkata Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan sentiasa memantau maklumat dan percanggahan isu berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja.

Mengenai program Jom Baca Bersama 10 Minit, beliau berkata program tersebut meningkatkan rasa cinta warga Kementerian Komuniakasi Digital (KKD) untuk membaca.

Di peringkat KKD, menurutnya satu program dikenali sebagai ‘bedah buku’ akan diperkenalkan bagi memupuk budaya membaca serta melaksanakan perkongsian bahan bacaan masing-masing. 

Program berkenaan merupakan antara inisiatif Perpustakaan Negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat seterusnya menjadikan membaca sebagai satu amalan hidup

Turut hadir Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here