IPOH, 19 Mei – Mesyuarat Ketiga, Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang akan diadakan selama empat hari bermula Isnin ini, bakal berlangsung dalam suasana baharu berikutan kerja pengubahsuaian dewan persidangan siap awal bulan ini.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata pengubahsuaian dewan persidangan yang mengambil masa lapan minggu dan melibatkan kos RM1 juta itu, melibatkan penaiktarafan meja dan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setelah beberapa penambahbaikan dibuat sebelum ini seperti naik taraf sistem audio dan visual serta karpet.

“Penambahbaikan ini dapat memberi keselesaan dan suasana yang lebih segar seiring dengan iltizam memartabatkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri setelah 25 tahun tidak diubah suai,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata pada persidangan kali ini, dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa oleh kerajaan iaitu Enakmen Hotel Perak 2023 dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

Selain itu, katanya terdapat dua usul akan dibawa Menteri Besar Perak iaitu Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara berikutan terdapat satu kekosongan ketika ini.

Mohammad Zahir berkata seramai 46 ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU tersebut dengan 23 orang akan berbahas berkaitan Enakmen Hotel Perak 2023, manakala baki 23 ADUN berbahas berkaitan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

“Tempoh masa perbahasan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah 30 minit seorang, manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah 15 minit seorang.

“Tempoh sesi penggulungan bagi setiap RUU oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula 60 minit seorang,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti penstriman langsung sepanjang persidangan itu melalui saluran YouTube DUN Perak, portal rasmi Kerajaan Negeri Perak dan laman facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here