MELAKA, 20 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji.

Pertemuan hampir sejam di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Zhao ke Malaysia bermula semalam.

Pada perjumpaan itu Ab Rauf mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China atas persahabatan dua hala yang terjalin dengan Melaka sejak 2004 melalui projek bandar berkembar.

“Hasil daripada perbincangan tadi, kita melihat lebih jauh bagaimana Melaka boleh dibangunkan dalam pelbagai sudut sama ada pelancongan, pelaburan, perindustrian dan pelabuhan menerusi kerjasama antara dua negara ini.

“Kita juga bertukar fikiran mengenai usaha membangunkan Melaka Waterfront Economic Zone yang dijangka menjadi satu kawasan pesat membangunan dalam aktiviti maritim,” katanya.

Ab Rauf berkata hasil perbincangan tersebut sangat positif malah kerajaan negeri berbangga apabila pemimpin ketiga tertinggi China memilih Melaka untuk berkunjung bagi melihat potensi pelaburan.

Beliau berkata pihaknya juga akan berunding dengan Malaysia Airports Holdings Bhd bagi mengaktifkan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam sebagai usaha menggalakkan pelancong dari negara tersebut.

“Sekiranya kita dapat merancakkan semula aktiviti penerbangan di LTAM, saya yakin lebih ramai pelancong dari China akan datang terus ke Melaka tanpa perlu transit di Kuala Lumpur.

“Ini juga sesuai sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, malah ini akan menjadikan Melaka destinasi yang menarik,” katanya.

Dalam kunjungan dua hari ke Melaka, Zhao dijadual melawat beberapa lokasi pelancongan di Jonker Street seperti Muzium Warisan Baba dan Nyonya serta Masjid Selat sebelum berlepas pulang ke Beijing pada Sabtu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here