JOHOR BAHRU, 23 Mei – Penyokong UMNO khususnya generasi muda tidak mempunyai masalah mengundi calon Pakatan Harapan (PH) termasuk daripada DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau berkata ia kerana generasi muda kini semakin celik politik dan matang untuk berdepan dengan hala tuju dan dunia baharu politik tempatan berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH dalam  membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (mengundi calon DAP) kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.

“Saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik, jadi biarlah mereka mengundi calon untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Jumaat lepas, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here