KOTA KINABALU, 23 Mei – Masa yang secukupnya akan diberikan bagi memastikan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang melibatkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dapat dibentang dan dibahas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata tiada masalah daripada segi susun atur pembentangan rang undang-undang itu, walaupun ia diletakkan di kedudukan keempat dan terakhir untuk dibentang pada persidangan selama empat hari itu berakhir Khamis ini.

“Susun atur sekarang hanya pindaan kecil melibatkan Rang Undang-undang  wakaf, tanah dan hutan; selepas itu kita ambil masa seberapa banyak yang boleh untuk pastikan Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah libat RUU  Anti Lompat Parti dapat dibahaskan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang DUN Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang sebelum itu berdiri menyatakan ‘standing order’, adakah masa mencukupi untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti kerana ia diletak sebagai rang undang-undang keempat dan terakhir bakal dibentang pada persidangan kali ini.

Kadzim pada satu sidang media 16 Mei lepas menyatakan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti tiada dalam agenda persidangan kerana masih belum menerima pemakluman daripada kerajaan Sabah tentang perkara itu, namun telah menerimanya pada sebelah petang selepas sidang media tersebut.

Beliau berkata kenyataan perbahasan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti memerlukan masa yang panjang dalam sidang media itu adalah pandangan peribadinya sendiri kerana perbahasan itu dilihat boleh melibatkan ramai pembahas yang mahu menyatakan pandangan masing-masing.

Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) kemudian berdiri menyatakan ‘standing order’ dengan merujuk kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sabah bahawa keputusan Speaker DUN Sabah adalah muktamad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here