KUALA LUMPUR, 25 Mei – Memandangkan pelajar dari Maldives menunjukkan minat untuk mengikuti pendidikan peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi di Malaysia, sektor pendidikan di negara ini perlu melakukan lebih banyak lagi usaha untuk menarik minat mereka, kata Pesuruhjaya Tinggi baharu Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.

“Untuk memanfaatkan minat yang semakin meningkat ini, Malaysia, melalui Suruhanjaya Tinggi di Colombo dengan kerjasama universiti swasta dan awam berhasrat untuk meningkatkan promosi untuk menarik lebih ramai pelajar, kata Badli Hisham dalam temu bual bertulis dengan Bernama.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 2,000 warga Maldives belajar di Malaysia dan kami ingin melihat peningkatan dalam bilangan mereka,” kata Badli Hisham.

Duta berusia 53 tahun itu kini dalam lawatan kerja ke Maldives dari 21 hingga 27 Mei sempena Ekspo Pendidikan Antarabangsa Kajian Luar Negara, yang diadakan di Male dan pulau-pulau lain di Maldives untuk mempromosikan pendidikan di Malaysia kepada pelajar Maldives.

Beliau berkata Malaysia juga menyokong Maldives dalam menyediakan latihan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan akan terus menyokong Maldives melalui lebih banyak kursus MTCP.

Badli Hisham berkata beliau akan menumpukan kepada mempromosikan perdagangan selanjutnya antara Malaysia dan Maldives melalui pelaburan semasa lawatannya ke Malaysia.

“Saya akan terus mempromosikan pertukaran budaya dalam kalangan rakyat, terutamanya melalui promosi kebudayaan Malaysia dan kerjasama dalam pelancongan,” katanya.

Malaysia dan Maldives menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 1968.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here