KUALA LUMPUR, 26 Mei – Gergasi telekomunikasi Sweden, Ericsson mengekalkan kedudukan teratasnya dalam laporan Pasaran Infrastruktur Rangkaian 5G Frost Radar 2023 untuk tahun ketiga berturut-turut.

Mengekalkan kedudukan teratas dalam laporan Frost Radar sepanjang tahun lalu menunjukkan keupayaan konsisten Ericsson untuk meningkatkan inovasi dan pertumbuhannya dalam bidang tersebut, menurut laporan tahunan daripada firma perunding perniagaan Frost & Sullivan.

Ia juga mengesahkan semula kepimpinan Ericsson dalam pasaran infrastruktur rangkaian 5G, yang merangkumi rangkaian capaian radio (RAN), rangkaian pengangkutan dan rangkaian teras, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka & Bangladesh, David Hagerbro berkata di Malaysia, ini adalah tahap teknologi yang Ericsson terapkan ke dalam rangkaian 5G bertaraf dunia untuk Digital Nasional Bhd yang akhirnya memberi manfaat kepada negara dan sesiapa sahaja yang menggunakannya.

Ericsson memenangi kontrak untuk membangunkan rangkaian dan ekosistem 5G Malaysia, termasuk pembangunan rangkaian dari hujung ke hujung.

Hagerbro berkata selain daripada mengekalkan kedudukan teratasnya, Ericsson juga telah mendapat pengiktirafan penting untuk membangunkan penyelesaian 5G RAN yang cekap tenaga yang memenuhi keperluan pelanggan.

Menurut laporan tahunan daripada firma perunding perniagaan Frost & Sullivan, mengekalkan kedudukan teratas dalam laporan Frost Radar sepanjang tahun lalu menunjukkan keupayaan konsisten Ericsson untuk mengukur inovasi dan pertumbuhannya dalam bidang tersebut.

Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha Ericsson yang dipertingkatkan untuk melabur dalam kepimpinan teknologi bagi manfaat pelanggan, katanya.

Ini adalah satu lagi anugerah industri yang tidak dapat dipertikaikan yang melengkapkan kedudukannya sebagai peneraju dalam laporan ‘2023 Gartner Magic Quadrant for 5G Network Infrastructure’ bagi Operator Rangkaian Mudah Alih.

“Oleh itu, tidak mengejutkan bahawa 50 peratus daripada trafik 5G dunia di luar China adalah melalui rangkaian radio Ericsson dan 80 peratus daripada 20 pengendali teratas di dunia menggunakan teras 5G kami,” kata Hagerbro.

“Dan saya rasa bangga untuk mengatakan bahawa di seluruh Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, saya dapat bekerjasama dengan pasukan terbaik tempatan untuk melaksanakan teknologi dan kepakaran yang ditawarkan oleh Ericsson.”

Ericsson kini menguasai 145 rangkaian 5G secara langsung di 63 buah negara, yang merupakan tahap tertinggi yang mana dilaporkan secara terbuka oleh Frost & Sullivan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here