PUTRAJAYA, 26 Mei – Malaysia berjaya mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan Sosial dan Pembangunan ke-11 (AMMSWD) dan mesyuarat berkaitan secara hibrid bermula pada 22 Mei lepas hingga hari ini, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

 Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Malaysia dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN dan termasuk Timor-Leste buat kali pertama selaku negara pemerhati sekali gus Pusat Latihan Kerja Sosial ASEAN (ATCSW).

Menurut KPWKM mesyuarat bertemakan “Accelerating the Implementation of ASEAN’s Commitments for Gender Equality through Gender Mainstreaming and Social Inclusion” membayangkan ASEAN sebagai komuniti inklusif yang mempromosikan kualiti hidup yang tinggi dengan akses saksama kepada peluang untuk semua, serta melindungi hak wanita dan masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mempengerusikan AMMSWD kali ke-11 dan AMMSWD+3 kali ke-7 hari ini.

Menurut kenyataan itu, Nancy pada mesyuarat itu menekankan keperluan untuk rakan strategik ASEAN mempercepat usaha dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 5 (SDG5) yang menumpukan kepada perspektif gender bersepadu dalam rancangan pembangunan negara, mengukuhkan institusi keluarga dan meningkatkan kebajikan sosial.

Beliau turut mengetengahkan isu penuaan dan warga emas memandangkan Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ dengan 15 peratus penduduk Malaysia akan terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas seperti di bawah Deklarasi Penuaan Kuala Lumpur 2015: Memperkasa Warga Emas di ASEAN.

“Mesyuarat empat hari itu menterjemahkan tema berkenaan menjadi realiti melalui kerjasama yang dipertingkatkan antara kerajaan dan badan bukan kerajaan NGO serta ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiganya dan afirmatif komitmen ASEAN dalam menangani isu pengarusperdanaan jantina dan keterangkuman sosial,” menurut KPWKM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here