IPOH, 26 Mei – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini bersetuju memilih Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu bagi mewakili negeri itu.

Pemilihan itu dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bagi mengisi satu kekosongan kerusi dalam Dewan Negara setelah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid melepaskan keahliannya pada November 2022.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan pemilihan itu berkata hanya seorang calon yang dikemukakan kepada Setiausaha DUN Perak hingga ke tarikh akhir penamaan calon pada 15 Mei lalu.

“Nama ahli Dewan Negara yang telah dipilih akan dikemukakan seberapa segera kepada Pejabat Setiausaha Dewan Negara, bertujuan untuk menjalankan pelantikan selanjutnya yang akan diurus dan disempurnakan oleh Urus Setia Dewan Negara Parlimen Malaysia,” katanya pada persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2018 hingga 2020.

Terdahulu, DUN Perak turut meluluskan Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang antaranya bertujuan memansuhkan gelaran Orang Besar Lapan iaitu “Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja” yang digantikan dengan gelaran “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra”.

Persidangan bersambung pada tarikh ditentukan kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here