JAKARTA, 30 Mei – Seramai 100 pelajar daripada lima Universiti Islam Negeri (UIN) di bawah Kementerian Agama Indonesia akan dihantar untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di Universiti Utara Malaysia (UUM) mulai September ini.

Penghantaran peringkat pertama dilaksanakan menerusi program ‘Biasiswa Indonesia Bangkit’ dengan kerjasama Lembaga Pengelola Dana Pendidikan, menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Ketua Pengarah Pendidikan Islam Prof Dr Ali Ramdhani berkata UUM menjadi universiti pertama Malaysia yang terpilih menjalin kerja sama akademik dengan lima UIN.

Lima universiti terlibat adalah UIN Raden Fattah Palembang, UIN Ar-Raniry Banda Aceh, UIN Mataram, UIN Sunan Gunung Djati Bandung dan UIN Sunan Ampel Surabaya.

Pemeteraian memorandum persefahaman berlangsung pada Isnin yang turut disaksikan Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Zulfadhli Hamzah dan Setiausaha Pertama Wisma Putra di kedutaan Gobinath Nadradjah.

Naib canselor UUM Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata kerjasama ini merupakan satu pengiktirafan kepada universiti di peringkat antarabangsa.

“Pelajar yang memenuhi syarat akan menyambung pengajian dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa sekali gus membangunkan sumber manusia yang holistik, menyediakan pemimpin dan pendidik yang profesional.

“Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Pusat Teknologi Multimedia dan Komunikasi, dan Pusat Pengajian Pendidikan akan terlibat dalam jalinan kerjasama ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here