BEIJING, 2 Jun – Presiden Xi Jinping menggalakkan kanak-kanak di China mempunyai visi, bercita-cita tinggi, tekun belajar, gigih berusaha, sentiasa bersyukur, serta berani berinovasi.

Harapan itu disuarakan beliau semasa melawat Sekolah Yuying Beijing pada Rabu menjelang Hari Kanak-kanak Antarabangsa yang disambut setiap 1 Jun.

Xi berkata kanak-kanak adalah masa depan nusa serta harapan bangsa, oleh itu perlunya memastikan perkembangan holistik golongan ini dari segi moral, intelektual, fizikal, deria estetik dan kemahiran kerja.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar di gelanggang bola keranjang, sambil berkongsikan mengenai pentingnya perkembangan fizikal diterapkan kepada semua pelajar.

Menurut beliau, sukan dan senaman merupakan kaedah yang paling berkesan dalam membina kekuatan fizikal kanak-kanak.

“Adalah penting untuk mencipta suasana kondusif yang melibatkan guru, pihak sekolah, keluarga dan seluruh masyarakat untuk terus menyumbang kepada peningkatan kecergasan fizikal kanak-kanak,” kata Xi.

Ketika singgah di sebuah kebun yang diusahakan pelajar, Presiden Xi berkata amalan bercucuk tanam harus dibudayakan sejak kecil.

Beliau berkata pengetahuan mengenai alam semula jadi bermula dengan menerokai tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling mereka.

Xi menzahirkan harapan agar golongan itu dapat menghargai jasa dan bakti yang dicurahkan kaum petani serta menghormati alam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here