MELAKA, 3 Jun – Sembilan lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan diwujudkan di negeri ini tahun ini bagi memastikan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai pusat yang menyediakan akses Internet dan memberi latihan berasaskan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT), keusahawanan serta multimedia. 

Exco Sains Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata antara kawasan yang dikenal pasti di Kesidang dan Ayer Keroh bagi tambahan kepada 30 PEDi sedia ada di seluruh Melaka setakat ini iaitu 14 di daerah Alor Gajah, Jasin (11) dan Melaka Tengah (lima).

“Usaha ini selaras dengan matlamat kita untuk mengarusperdanakan ekonomi digital kepada semua lapisan masyarakat di samping menyebarluaskan kemudahan pusat itu kepada rakyat di negeri ini bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai.

“Di kampung terutamanya yang mempunyai ramai usahawan menghasilkan produk seperti makanan, golongan ini harus memanfaatkan kemudahan yang ada untuk mempelajari cara bagaimana meluaskan pasaran perniagaan melalui platform digital,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) Pendidikan Kemahiran 2023 Parlimen Alor Gajah dan Majlis Meraikan Atlet Kelab Sukan Angkat Berat Nyalas di Pusat Kegiatan Masyarakat Selandar.

Mengulas lanjut Fairul berkata dengan hanya membayar yuran RM5, masyarakat boleh menikmati pelbagai perkhidmatan percuma yang disediakan di PEDi, selain latihan dan  pendedahan kepada usahawan mengenai kaedah mengembangkan perniagaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang serta media sosial.

“Kita lihat usaha ini telah membuahkan hasil dan ada dalam kalangan mereka yang berjaya memasarkan produk mereka ke luar Melaka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here