KUALA LUMPUR, 4 Jun – Perancis mengiktiraf kedaulatan penuh Malaysia membabitkan sempadannya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hal ini ditegaskan oleh Menteri Luar Perancis Catherine Colonna semasa pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Khamis (1 Jun), semasa lawatan kerjanya ke Paris.

Kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Kementerian Perancis juga memaklumkan kedua-dua menteri itu menggariskan asas kukuh hubungan antara Perancis dan Malaysia, khususnya mengenai kekananan dan kualiti perkongsian industri pertahanan.

Kedua-dua menteri menyatakan sokongan mereka untuk ruang Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, inklusif, yang turut merangkumi Laut China Selatan, di mana undang-undang antarabangsa dihormati oleh semua, serta memutuskan untuk melancarkannya semula dalam rangka perundingan dua hala.

Perancis telah melancarkan strategi Indo-Pasifiknya pada 2018 untuk terus melibatkan diri dengan negara-negara di Asia Tenggara dan Pasifik dan membantu mengekalkan kawasan yang terbuka dan inklusif, bebas daripada semua bentuk paksaan dan berasaskan multilateralisme.

Malaysia adalah antara negara yang terlibat dalam pertikaian mengenai kedaulatan wilayah di Laut China Selatan. 

Sementara itu pada Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan ‘final award’ kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu terhadap Sabah.

Perbincangan itu turut menyentuh krisis di Myanmar, dengan kedua-dua menteri menyuarakan kebimbangan mendalam mereka tentang situasi politik dan kemanusiaan di negara itu berikutan rampasan kuasa, dan komitmen junta untuk kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang di negara itu.

“Oleh itu, menteri mengulangi sokongan Perancis untuk konsensus Lima Perkara ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Berkenaan dengan operasi ketenteraan Rusia terhadap Ukraine, kedua-dua menteri itu mengingatkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu dihormati, khususnya untuk kedaulatan dan integriti wilayah semua negara.

Pada 2022, Perancis ialah rakan dagangan ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan bernilai RM18.05 bilion (US$4.19 bilion) – peningkatan sebanyak 39.1 peratus berbanding nilai yang dicatatkan dalam 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here