TAIPING, 5 Jun – Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di sini mengambil langkah berjaga-jaga, bagi memastikan haiwan di zoo berkenaan tidak terkena serangan strok haba susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Pengarahnya Dr. Muhamad Ridhwan Affendi setakat ini tiada haiwan di zoo berkenaan yang dikesan terkena strok haba.

“Haiwan mempunyai kemungkinan terkena strok haba dan penyakit diabetes seperti manusia, jika tidak dijaga dengan baik oleh pakar.

“Sekarang kita dilanda cuaca yang sangat panas hinggakan pernah mencecah suhu 39 hingga 40 darjah. Namun, kita bersyukur juga kerana ZTNS terletak di kawasan yang sesuai iaitu di tapak kaki Bukit Larut yang dikelilingi Taman Tasek Taiping,” katanya.

Muhamad Ridhwan berkata kebajikan di zoo dijaga rapi oleh ahli yang ditugaskan khas untuk menjaga haiwan dan air, selain memandikan haiwan seperti gajah secara berkala.

Beliau berharap cuaca panas di negara ini tidak berlanjutan sehingga ke bulan Ogos dan September, memandangkan terdapat taburan hujan semenjak beberapa hari lepas.

Sementara itu, ZTNS hari ini meraikan seramai 21 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Kampung Boyan, dalam meningkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan alam sekitar.

Program Let’s Nurture the Nature memfokuskan kepada matlamat utama iaitu mempromosikan pendidikan dan kesedaran masyarakat, khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

“Antara pengisian aktiviti yang dijalankan pada hari ini ialah penanaman anak pokok Kelat Paya Merah, lawatan zoo dan pemberian makanan kepada haiwan,” katanya.

Beliau berkata istimewa bagi penanaman anak pokok pada hari ini ialah menggunakan tanah baja organik dariapada tinja haiwan.

“Kita menggunakan baja kompos yang diperbuat daripada tinja gajah, yang merupakan penghasilan produk ZTNS sendiri. Ini merupakan kebanggaan kami dan rasanya kami merupakan zoo pertama yang lakukan (baja kompos) untuk kegunaan semua tanaman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here