KUALA LUMPUR, 8 Jun – Etika kewartawanan diharap menjadi antara perkara yang akan diutamakan apabila Majlis Media Malaysia dibentuk kelak, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata etika kewartawanan harus dijadikan teras dan tunggak kepada media yang bebas, selain sebagai sebuah asas dalam pelaporan berita.

“Ini kerana kita (kerajaan) tidak mahu disalah erti bahawa (wartawan) boleh sewenang-wenangnya menulis berita yang tidak benar ataupun mengangkat fakta yang tidak berasas, mahupun berita palsu,” katanya.

Terdahulu semasa forum berkenaan, Fahmi menyentuh mengenai isu tekanan ekonomi yang turut dihadapi pelbagai syarikat media tempatan dan bagaimana ia menjadi antara aspek serius yang perlu diselesaikan sebelum sebuah majlis media boleh dibentuk sepenuhnya.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kami (Kementerian Komunikasi dan Digital) telah berjumpa editor dan editor kanan (pelbagai organisasi media), hakikatnya beberapa organisasi media telah menyaksikan pendapatan mereka merudum dalam beberapa tahun kebelakangan ini sehingga 75 peratus.

“Selain itu, kita juga perlu melihat bagaimana kita boleh menjadikannya (media) berjalan secara mampan, media harus dikawal sendiri; tindakan hanya apabila terdapat pelanggaran undang-undang.

“Bagus untuk mengadakan majlis media tetapi ia tidak lengkap jika kita tidak menangani kebimbangan ekonomi yang dihadapi oleh organisasi media sendiri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada majlis media akan tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Fahmi berkata masih belum ada perbincangan mengenai perkara itu.

“Perbincangan kita belum sampai pada peringkat itu setakat ini, banyak tumpuan (pada masa ini) adalah kepada bentuk dan fungsi majlis media dan seterusnya membawa rang undang-undang majlis media kepada Peguam Negara, dan juga Parlimen,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here