KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyasarkan untuk mengemukakan draf rang undang-undang Majlis Media kepada Kabinet bagi mendapatkan keputusan akhir tahun ini dan membentangkannya untuk bacaan kali pertama pada sesi Parlimen akan datang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD Mastura Ahmad Mustafa berkata kementerian itu berharap ahli jawatankuasa sementara Majlis Media Malaysia memberikan maklum balas mereka dalam tempoh dua minggu.

“Kami berharap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Dr Chamil Wariya (sebagai seorang daripada wakil) untuk memberikan maklum balas kepada kami dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat berhubung draf rang undang-undang yang dimuktamad, kami menyasarkan pada Ogos atau September tahun ini, ia akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan dan jika Kabinet bersetuju, ia boleh dibentang pada sesi Parlimen akan datang untuk bacaan kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bercakap sebagai antara ahli panel dalam perbincangan bertajuk ‘Peranan Penting Majlis Media Malaysia’ di Forum Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2023 di sini hari ini.

Ahli panel lain termasuk wakil media bagi Sabah dan Sarawak S.S. Yoga, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ Malaysia) Wathshlah Naidu serta wartawan Malaysiakini Aidila Razak.

Perbincangan itu menyaksikan pelbagai topik berkaitan penubuhan dan fungsi majlis media dibangkitkan seperti sumber pembiayaan, kebebasan akhbar serta undang-undang dan peraturan melibatkan akhbar.

“Sebenarnya terdapat dua harapan kerajaan kepada majlis media… pertama, berhubung cabaran dan isu dalam mendepani teknologi yang sentiasa berkembang, terdapat permintaan (yang semakin meningkat) terhadap media yang beretika, bertanggungjawab serta boleh dipercayai untuk orang ramai.

“Itulah yang kita harapkan daripada majlis media bukan hanya bagi pihak kerajaan tetapi juga pengguna berita.

“Kedua, kami juga ingin melihat media menjadi platform untuk orang ramai meluahkan rungutan mereka sekiranya mempunyai aduan terhadap pengamal media,” kata Mastura.

Beliau berkata adalah kondusif untuk memiliki satu platform seperti majlis media dan pada masa sama, pengamal media perlu bertanggungjawab terhadap apa yang diterbit serta disebarkan kepada orang ramai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here